Monday, July 20, 2009

Berita Terkini H1N1


Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 20 Julai 2009
Sehingga 20 Julai 2009 jam 8 pagi, tiada kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan dan dimasukkan ke hospital. Ini menjadikan jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang disahkan (confirmed cases) di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 874 kes yang terdiri daripada

  • 567 kes import dan

  • 307 kes jangkitan tempatan.

  • Tiada kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) dilaporkan dan juga tiada kejadian cluster Influenza Like Illness (ILI) yang disahkan akibat jangkitan influenza A(H1N1).

Daripada keseluruhan 874 kes yang disahkan positif influenza A(H1N1), 862 pesakit (98.6%) telah sembuh, 7 orang (0.8%) sedang menerima rawatan di hospital, manakala 5 (0.6%) pesakit masih meneruskan rawatan sebagai pesakit luar.

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 20 Julai 2009 jam 8.00 pagi, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 133,755 kes dengan 760 kematian daripada 155 negara, iaitu pertambahan 120 kes.

Dua buah negara baru yang disenaraikan adalah Solomon Island dan Guam, Amerika Syarikat. Negara-negara yang melaporkan pertambahan kes adalah Hong Kong 62 kes, Australia 47 kes, New Zealand 5 kes, dan Malaysia 3 kes. Tiada pertambahan jumlah kematian iaitu kekal pada 760 kematian.

Sehingga 6 petang 19 Julai 2009, sebanyak 55 pertanyaan telah diterima melalui talian hotline dan e-mel. Kementerian Kesihatan masih menerima pertanyaan melalui talian hotline berkenaan rawatan antiviral dan vaksin yang merangkumi 16 dari 55 pertanyaan (29%).

Kementerian Kesihatan ingin menegaskan buat masa ini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan influenza A(H1N1) di pasaran. Sehubungan itu kaedah terbaik buat masa ini untuk mencegah dan melindungi daripada mendapat jangkitan ini adalah melalui social distancing dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran pada tahap yang optimum.

Berkenaan dengan rawatan antiviral, tujuan rawatan antiviral ini diberi adalah untuk mencegah komplikasi dan kematian. Oleh itu mereka yang berisiko (seperti pesakit asthma, kegagalan organ, wanita hamil, pesakit diabetes dan penyakit kronik paru-paru) yang mengalami gejala jangkitan Influenza Like Illness (ILI) akan dimasukkan ke hospital dan seterusnya diberi rawatan antiviral.

Manakala kes-kes ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar tanpa antiviral dan dibenarkan berehat di rumah. Mereka juga harus melakukan pemantauan kendiri (self monitoring) dan sekiranya gejala bertambah teruk untuk segera mendapatkan rawatan. Penggunaan antiviral untuk tujuan pencegahan daripada jangkitan ini adalah tidak dibenarkan.

Nasihat kepada orang ramai:
Pada fasa mitigasi ini, hanya kes-kes jangkitan yang teruk dan berkomplikasi sahaja akan dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa walaupun pada hari ini tiada kes baru yang dilaporkan, ini tidak bermakna tiada jangkitan influenza A (H1N1) yang berlaku di dalam masyarakat. Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian cluster ILI. Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

  1. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya rutin membasuh tangan dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

  2. Mereka yang bergejala dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk mengurangkan pergaulan rapat dengan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang tiada mempunyai sebarang gejala. Mereka juga perlu memakai mask dan jika tanda-tanda jangkitan menjadi bertambah teruk, mereka perlu segera datang ke hospital atau klinik yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

  3. Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.


Bagi mengetahui situasi dan perkembangan semasa pandemik H1N1, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat dari Kementerian Kesihatan melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my/ dan http://h1n1.moh.gov.my/. Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan iaitu 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415 terus beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari.



Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.




Sekian dan terima kasih.




DATO’ SRI LIOW TIONG LAIMenteri Kesihatan Malaysia



Tarikh: 20 Julai 2009



0 comments:

Post a Comment

 

Term of Use

You Love Health Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Blogger Template Gallery Flower Image by Dapino